Skip to content

MAJLIS PERASMIAN PERPUSTAKAAN JENERAL TUN IBRAHIM (PJTI)

MAJLIS PERASMIAN PERPUSTAKAAN JENERAL TUN IBRAHIM (PJTI)
15 Disember 2011 merupakan hari yang istimewa  bagi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) khususnya Perpustakaan kerana telah mencatat satu lembaran baharu di dalam perkembangan universiti secara umumnya apabila Perpustakaan Jeneral Tun Ibrahim (PJTI) telah dirasmikan. Majlis Perasmian Perpustakaan Jeneral Tun Ibrahim  ini disempurnakan oleh Y.B. Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, Menteri Pertahanan Malaysia pada 15 Disember 2011. Turut hadir di majlis tersebut adalah Pengerusi Lembaga UPNM,  Naib Canselor UPNM,  Ketua Pustakawan UPNM,  Pengurusan Tertinggi serta  Pegawai-Pegawai Kanan UPNM dan tetamu tetamu yang lain
Majlis ini diserikan dengan kehadiran balu Allahyarham Jeneral Tun Ibrahim iaitu Toh Puan Zakiah Bin Ahmad yang ditemani anak-anak dan ahli keluarga yang lain. Di dalam ucapan balas yang telah disampaikan oleh Encik Ahmad Bin Ibrahim iaitu anak ketiga kepada Allahyarham Jeneral Tun Ibrahim mereka sekeluarga rasa terharu di atas penghormatan dan penghargaan yang telah diberikan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) setelah menamakan perpustakaan baharu dengan nama Allahyarham Jeneral Tun Ibrahim. Malah mereka sekeluarga berbangga apabila nama insan yang mereka sayangi kini disebut-sebut, diabadikan malah segala jasa Allahyarham kepada negara begitu dihargai.
Perpustakaan Jeneral Tun Ibrahim (PJTI) yang dahulunya dikenali sebagai Perpustakaan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia kini telah memiliki satu identiti tersendiri selaras dengan misi universiti yang ingin menjadi universiti pertahanan primier di dalam kepimpinan dan pembangunan profesional Perpustakaan ini dinamakan sempena nama mantan Panglima Angkatan Tentera ketiga yang telah berkhidmat selama tujuh tahun sebagai Panglima Angkatan Tentera, tempoh yang paling lama pernah dipegang oleh mana-mana Pegawai Tinggi ATM. Sepanjang tempoh perkhidmatan Allahyarham Jeneral Tun Ibrahim dalam ATM, banyak jasa dan sumbangan yang telah diberikan. Oleh yang demikian, beliau merupakan satu-satunya Panglima Angkatan Tentera yang dianugerahi gelaran “Tun” oleh Yang di- Pertuan Agong setakat ini. Allahyarham Tun Ibrahim Bin Ismail merupakan penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengajian Strategik) dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) semasa Konvokesyen Pertama UPNM pada 10 Oktober 2010. Pemilihan nama Perpustakaan Tun Ibrahim juga adalah berdasarkan sumbangan allahyarham Tun Ibrahim di dalam dunia penulisan sehingga terhasilnya dua buah buku yang menghimpunkan pengalaman-pengalaman beliau dan menjadi rujukan penting dalam dunia ketenteraan. Hasil karya pertama, “Sudahkah Kamu Bertemu Mariam?” yang diterbitkan pada tahun 1984 menceritakan pengalaman Jeneral Tun Ibrahim ketika Perang Dunia Kedua. Manakala, karya kedua berjudul “Ibrahim, Pahlawan Melayu” mengandungi seluruh kisah kerjaya Allahyarham Jeneral Tun Ibrahim ketika era menjelang kemerdekaan hinggalah allahyarham bersara.

 

 

Perkhidmatan

Pentadbiran,Latihan & Jaminan Kualiti

Suapan Perpustakaan Negara

Galeri